Islamic Media 1

Category : General ยท by Sep 28th, 2011

 

Telah berkata Syeikh Ibnu Athaillah Iskandari di dalam Al-Hikamnya:

Sebaik-baik permintaan yang seharusnya anda mohon dari Allah ialah (Kemampuan) melaksanakan apa-apa yang Allah perintahkan kepada anda.

Anakndaku,

Syeikh Said Hawa ketika mensyarahkan hikmah yang mulia ini berkata apa yang dinyatakan oleh Syeikh Ibnu Athaillah ini seolah-olah ingin menarik perhatian manusia agar mengutamakan sebaik-baik permohonan dan hajat iaitu memohon pada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk mengerjakan ketaatan padaNya serta menjauhi cinta dunia.

Sebagaimana kita tahu, manusia merupakan makhluk yang lemah dan sentiasa berhajat kepada Allah SWT. Bahkan di dalam bisikan kudus manusia ketika berdoa pada Allah SWT, bukan sedikit hajat yang dipinta pada Allah Yang Maha Memberi.

Selain dari permintaan asasi seperti keampunan dariNya, kesihatan sepanjang hayat serta memohon kemurahan rezeki, manusia turut menyertakan pelbagai hajat dan permohonan yang tidak terkira banyaknya yang meliputi urusan dunia dan akhirat. Doa untuk mendapat pekerjaan yang baik. Doa agar dikurniakan anak-anak yang berjaya. Doa agar sentiasa dikasihi dan disayangi oleh semua dan lain-lain. Pendek kata terlalu banyak yang dipinta dan dipohon sebagai tanda lemahnya insan.

Ketahuilah Anakanda,

Sebuah syair arab menyebut:

Kita disibukan pagi dan petang dengan hajat-hajat kita sedangkan hajat-hajat bagi yang hidup itu tidak akan habis (Selagi tidak mati).
Hajat manusia sentiasa ada di sepanjang hayat mereka. Terkadang hajat yang dipohon bukanlah satu keutamaan pun. Sebaliknya hanyalah permohonan yang terhasil dari kecintaan terhadap dunia yang fana ini. Sehinggakan mereka tidak mampu lagi untuk membezakan antara keutamaan yang hakiki dan keinginan yang tidak pernah akan habis.

SHARE :